Malam itu hujan lebat. Petir dan kilat bergilir-gilir menyambar dan memekakkan telinga. Deruan angin yang kencang umpama Katrina kedua melanda bandar itu. Tapi, di sebalik kedinginan malam itu, di sebuah jalan yang sepi, ada satu susuk tubuh yang sedang melutut, jelas menampakkan kekecewaannya. Dia melutut di hadapan sebuah restoran ala Arab, dengan air matanya mengalir laju persis hujan yang turun, dan tangannya menggenggam sejambak bunga ros yang lencun dibasahi air. Di tangan kirinya, sebuah kotak bujur yang diperbuat daripada baldu, didalamnya tersemat sebuah cincin berlian yang indah.
Dia membulatkan tekad. Jambak bunga itu dihumbannya ke tong sampah di tepi jalan itu. Dia berdiri, terserlah kekurangan fizikalnya. Dia mempunyai riak muka yang masih muda, dengan janggutnya yang tipis, tapi badannya bongkok seperti udang.Badannya kurus dan mukanya cengkung, dan matanya tajam cukup tajam untuk membuatkan kesemua orang yang lalu lalang merenung kepelikan susuk tubuh ini. dia berpaling lalu melangkah jalan dengan perlahan. Derapan kakinya pula tersekat-sekat, dengan ketempangan yang sedaya upaya diselindunginya.
Dia tiba di sebuah jambatan, yang menghubungkan dua tanah diantaranya sebuah sungai yang lebar dan laju arusnya. seiring dengan deruan angin yang dahsyat.Dia memanjat penghadang di tepi sungai itu, lalu menjerit dengan sekuat-kuat hatinya. Alangkah kejam dunia ini! merentap kesemuanya dari diriya. Dunia ini dirasakannya tidak adil, karna meminggirkannya hanya kerana kekurangannya. Ketika dia tekad untuk mengakhiri nyawanya, tiba-tiba dia terdengar satu suara,"Adakah Kami menciptakan kau hanya untuk menamatkannya sebegini?".
Dia tersentak. Kepalanya berdesing dan pancainderanya tiba-tiba tajam kembali setelah luntur dibalut emosi. Dia seperti tersedar daripada lena yang lanjang. Dia mendepakan tangannya ke arah langit, simbol kepasrahannya kepada abadi. Dia kini kembali dan amat menyesali pertimbangannya yang tidak waras itu. Dia menangis lagi, lalu dilemparkannya dengan seluruh adidaya cincin itu ke sungai. Biarlah arus sungai itu membawa cincin berlian itu jauh daripadanya, karna dia mempunyai kekasih baru, Kekasih Abadi.
****
Afrina setelah menyelesaikan tugas hariannya sebagai seorang suri rumah yang bertanggungjawab, kini mengambil sedikit masa untuk berehat-rehat di pondok buatan sendiri di karangan rumahnya. Dia menarik nafas lega. Hidupnya kini amat tenang dan lebih senang daripada dulu. Dia menggerenyet apabila memikirkan kondisi kehidupannya yang susah bersama Khalid, suaminya. Dulu di sewaktu bangku persekolahan, Khalid merupakan rakan sekelasnya. Memegang jawatan selaku Ketua Pengawas dan seorang pemain bola yang mewakili negeri, dia sememangnya menjadi idaman setiap wanita. Dia merupakan seorang yang bertanggungjawab dan memiliki ciri kepimpinan yang baik.
Memorinya laju mengimbas muka satu persatu rakan sekelasnya, memikirkan kehidupan mereka. Rakan baiknya, Sarah kini di London bermastautin di sana setelah membuka butik idamannya di sana. Amal, rakan baik Khalid kini memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat bumiputera yang mengusahakan tanaman tebu yang terbesar di Malaysia. Tiba-tiba, dia terimbas sebuah muka yang cengkung. Yang tempatnya di kelas berada di hujun sana. Sendiri. Dia.
Sebelum peperiksaan SPM, ibarat bulan jatuh ke riba. Rupanya, Khalid menyimpan perasaan terhadap dia. Di antara kesemua lautan peminatnya, Khalid memilih Afrina. Dia berjanji untuk menemui ibu bapanya memohon restu sebaik sahaja tamat SPM. Setelah keputusan SPM diumumkan, keputusan kedua-duanya yang tidak memuaskan tidak menjadi batu penghalang dek hanyut dilanda kemabukan cinta. Ibu bapa Afrina tidak melihat sebarang alternatif lain untuk Afrina, melainkan membenarkan mereka berdua berkahwin.
Setelah berkahwin, rupanya langit itu tidak selalunya cerah. Anyaman kebahagiaan yang diharapkan kini menjadi satu jerutan yang menyesakkan. Khalid dibuang kerja berulang-ulang kali, menyebabkan hidup mereka seperti nomad, ditambah lagi dengan buruan oleh Along-along yang menagih hutang. Mereka ke hulu dan ke hilir, memohon ihsan. Khalid semakin kecewa dan tewas dalam kekecewaannya, yang diluahkannya di pub bukan di sejadah. Sejadah dan al-Quran kini menjadi berdebu dalam lipatan kain kuning di stor mereka.
Kenangan indah Khalid sebagai seorang yang berketrampilan punah apabila dia pulang dalam keadaan mabuk dan terbaring di ruang tamu rumah sewa mereka. Afrina mengambil air untuk menyedarkannya kembali. Apabila dia kembali waras, dengan terketar-ketar, Khalid memberitakan bahawa dia telah kalah judi dan taruhannya ialah Afrina! Terbeliak mata Afrina mendengar khabar itu. Khalid seraya mengemas kesemua kepunyaan mereka dan mereka berlari dalam kegelapan malam. Mereka tidur di sebuah rumah tumpangan pada malam itu.

Keesokan harinya, Khalid keluar untuk mencari pekerjaan. Afrina menanti sepanjang hari dengan degupan jantung yang deras memikirkan keselamatan suaminya. Petang itu, Khalid pulang dengan wajah yang berseri-seri. Bibirnya tidak putus-putus mengatakan "Alhamdulillah", sebuah kata yang sudah lama malah kelihatan asing di mulutnya. Mereka berpindah di sebuah agam, yang didiaminya kini. Apabila Afrina bertanya, milik siapakah rumah ini? Khalid akan menggelengkan kepala, memberitakan bahawa ada seorang lelaki berumur pertengahan yang berpakaian seperti seorang korporat, menghulurkan kunci dan alamat rumah ini.
Setelah beberapa hari mendiami rumah agam itu, seorang lelaki yang berpakaian sut hitam mengunjungi mereka. Kepalanya dihiasi kopiah dan berjanggut nipis, bibirnya tidak lekang daripada senyuman. Dia menyampaikan berita gembira kepada kami, bahawa tuannya sudi untuk memberikan pinjaman modal kepada Khalid untuk memulakan perniagaan. Seraya, kami sujud syukur.
Alkisah, Khalid kini berubah menjadi seorang suami yang bertanggungjawab dan taat kepada agama. Perubahannya jelas kelihatan apabila mereka ditaja untuk umrah oleh tuan yang misteri itu. Khalid menangis dalam sujudnya di Masjidil Haram dan Nabawi. Dia kini kembali. Perniagaannya berkembang dengan pesat sekali. Berbekalkan latihan kursus pengurusannya, bisnesnya berkembang dengan maju sekali. Tapi, mereka tidak sesekali lupa dari manakah rezeki itu datang.
Imbas kembalinya terpadam apabila dia mendengar hon motorsikal posmen yang tiba memberikan surat. Dia menatap satu persatu surat, dan tertarik pada sebuah sampul surat yang berwarna ungu muda. Dia membukanya lalu tertulis.