Sunday, 18 December 2011

[Kuliah dan Ceramah]: Wanita Bahagia: Impian atau Angan-angan?

Bismillahirrahmanirrahim...Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah, setelah setahun hanya menatap wjaah dan mendengar suara Ustaz Azhar Idrus di komputer, ambe akhirnya berpeluang untuk menghadiri ceramahnya secara live pada semalam di Bandar Baru Bangi dan sekali lagi pada hari ini. Syukur kepada Allah kerana telah mentakdirkan Ustaz Azhar Idrus bertandang di KL dan Selangor, di mana mudah untuk ambe menghadiri kuliahnya.

Pada pukul 3 sehingga 5.30 petang tadi, Ustaz Azhar Idrus berkuliah di Masjid al-Mardhiyyah, Fasa 5 Taman Melawati dan ambe berpeluang untuk menghadiri kuliah tersebut. Apabila tiba, dari jauh nampak seperti pasar tani, kerana terdapat banyak khemah-khemah jualan dan booth yang terdapat di tepi jalan. Orang ramai, seperti biasa amat ramai dan sesetengah orang terpaksa parking sejauh 500 meter dari masjid kerana ketiadaan ruang parking. Rupa-rupanya, ia bukanlah pasar tani, sebaliknya booth-booth tersebut menjual produk Islamik seperti kasturi, jubah, purdah dan banyak lagi. Malahan, di sana juga dipasarkan produk-produk dari Ustaz Azhar Idrus, iaitu VCD Kuliah beliau dan juga booth menjual baju T-shirt yang tertera gambar ustaz dan pelbagai lagi pilihan baju yang amat menarik hati. Rambang mata juga ambe nak memilih mana satu rekaan baju yang bekenan di hati.

Ambe tiba tepat pada pukul 3.00 petang, tetapi masjid sudah dipenuhi dengan beigtu sesak sekali. Nampaknya sambutan orang awam amat menggalakkan dek gaya ceramah Ustaz yang kasual dan mudah difahami. Ambe juga difahamkan bahawa di perkarangan masjid juga hampir penuh, masya-Allah, Allah telah membukakan hati umat Islam untuk menghadiri kuliah ilmu..Alhamdulillah..:)

Kemudian, Ustaz pun muncul dan disusuli dengan beberapa teriakan takbir. Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa tajuk ceramah pada hari ini ialah "Wanita Bahagia: Impian atau Angan-angan". Jadi, amat rugilah kepada kaum Hawa yang tiada aral melintang untuk menghadiri ceramah ini tetapi memilih untuk mengurungkan diri di rumah.

Ustaz memulakan ceramah beliau dengan menjelaskan bahawa wanita mempunyai nilai yang tinggi dan mahal di sisi Islam, manakala harga wanita pula begitu murah dan rendah di Barat. Pelik bukan? Maka, ustaz menjelaskan dengan analogi yang begitu mudah:

Sebuah berlian di India yang dinamakan "Star of INdia" berharga USD 400 juta. Dek nilainya yang tinggi dan kesukaran untuk menemui berlian sebegitu, maka kawalan seasa berlian itu dipertontonkan kepada orang ramai amat ketat, sehinggakan 60 orang pengawal bersiap-siaga mengawal berlian tersebut.
Manakala, jam yang dibeli di pasar malam amat rendah harganya. Malahan, kotak jam tidak diberi. Berlainan dengan jam yang mahal, kotak jam diberi kerana untuk melengkapkan lagi pakej jam tersebut. Tetapi, dek harga jam yang begitu murah, maka kawalan ke atas jam pasar malam tersebut amat rendah, tidak dikunci dalam kotak gelas untuk mengawal keselamatannya.

Jadi, wanita Muslim dikawal dengan begitu ketat dengan pelbagai peraturan dan syariat kerana wanita amat mahal di sisi Islam. Islam mensyariatkan penutupan aurat agar harga wanita tinggi dan aibnya ditutup. Islam tidak menggalakkan wanita untuk bercampur bebas dengan kaum lelaki agar harganya tidak menjadi murah dan murah.

Sebaliknya, di Barat, mereka memperjuangkan idea bahawa wanita harus mengecapi kebebasan dalam berpakaian dan pergaulan. Impaknya, harga wanita menjadi murah, dapat dibeli dengan hanya desakan nafsu syahwat dan pujuk rayu. Harga wanita juga menjadi murah jika mengikut acuan Barat apabila badan wanita yang begitu mahal itu dipertonton kepada semua orang sehingga harganya turun. Hukum ekonomi, apabila barang terlampau banyak di pasaran, maka harga akan turun. Jadi, apabila wanita dipertonton, harganya menjadi murah. Buktinya, cukup mudah. Orang lelaki hanya akan menjadikan wanita yang bertudung sebagai isteri kerana ia mahal, sedangkan wanita yang tidak mengikut syariat hanya dijadikan permainan kerana barang murah dan dibuang apabila rosak.

Maka, Islam datang untuk memelihara harga wanita..Begitu mulianya Islam. Seterusnya, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, tentang takrif kebahagiaan wanita. Sesetengah wanita mengganggap kebahagiaan itu ialah mempunyai kehidupan yang mewah, suami yang kaya, kacak dan sebagainya. Tetapi, konsep kebahagiaan ini salah.

Kerana konsep kebahagiaan yang salahlah, wanita menjadi kaum yang paling ramai di neraka menurut perkhabaran Rasulullah semasa menjalani Israk Mikraj. Mengapakah kaum wanita ramai di neraka? Kerana tiga sebab.


  1. Tidak taat kepada Allah
  2. Tidak taat kepada Rasul
  3. Tidak taat kepada suami
Jadi, perempuan masuk ke neraka kerana tiga sebab tersebut. Bahagia lawannya celaka. Maka, jikalau mengingkari tiga perkara tersebut mengundang kecelakaan yang hakiki iaitu neraka, maka jikalau wanita ingin untuk mendapatkan kebahagiaan hakiki, iaitu syurga dengan tiga perkara juga:

  1. Taat kepada Allah
  2. Taat kepada Rasul
  3. Taat kepada Suami
Maka, menurut hadith, jikalau perempuan mematuhi tiga perkara di atas, maka masuklah ke mana-mana pintu syurga yang dikehendaki. Sedangkan, seseorang lelaki masuk ke dalam syurga dengan melalui pintu amalan yang biasa dilakukannya. COntohnya, Abu suka berpuasa sehingga amalan puasanya membuahkan hasil, iaitu syurga. Maka, Abu masuk ke syurga melalui pintu Puasa. Sebaliknya, perempuan yang mematuhi tiga perkara tersebut, boleh masuk melalui mana-mana pintu yang dikehendakinya..masya-Allah...

Jadi,jikalau wanita ingin mengalami kebahagiaan di dunia dan akhirat, maka hendaklah mereka mematuhi tiga perkara di atas. Manakala, wanita yang ingin mengalami kebahagiaan rumah tangga pula, haruslah memilih suami yang sesuai. Seorang wanita dan lelaki dipilih kerana tiga kriteria:

  • Kecantikan
Tetapi, kecantikan bukanlah kunci kebahagiaan. Buktinya, artis-artis, kesemuanya cantik-cantik belaka. Tetapi, mengapakah di dada akhbar, ramai artis yang cantik-cantik belaka. Kalau benarlah kecantikan menjamin kebahagiaan, tidak adalah kes penceraian dalam rumah tangga. Kecantikan itu bukan sesuatu yang abadi. Jelaslah, bahawa kalau kita memilih pasangan kerana kecantikan, kebahagiaan tidak terjamin

  • Kekayaan
Jikalaulah kekayaan menjamin kebahagiaan, pasti tiada orang kaya yang bunuh diri. Tetapi, kita sering memperhatikan bahawa kehidupan orang yang kaya tidak semestinya bahagia, sehingga ramai orang kaya bunuh diri.

  • Keturunan
Tidak juga menjamin kebahagiaan.

  • Keimanan
Inilah yang menjamin kebahagiaan. Keimananlah yang menjadi kunci kebahagiaan. Keimanan membuatkan Allah dan Rasul-Nya redha kepada kita, maka seluruh makhluk juga akan redha dengan kita. Maka, sesiapa yang ingin memlih pasangan hidup, pilihlah mereka kerana keimanannya, kerana dengan keimananlah yang akan menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

Kesimpulan:

  1. Kaum wanita senang untuk meraih kebahagiaan hakiki, iaitu syurga dengan tiga perkara di atas.
  2. Kaum wanita hendaklah membetulkan persepsi kebahagiaan. Kebahagiaan bukan bermakna kehidupan yang mewah. Betapa ramai keluarga yang kaya raya tidak bahagia walaupun duit banyak, dan betapa ramai keluarga yang miskin tetapi aman bahagia
  3. Kaum wanita yang mengidamkan kebhagiaan dalam rumah tangga harus bijak memilih pasangan, dengan menggunakan cara di atas.
Soal Jawab.

Seperti biasa, Ustaz Azhar Idrus akan memberi peluang untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh pendengar. Antara soal jawab yang dijawab Ustaz,

  • Berkenaan dengan gaya pemakaian sanggul yang tinggi yang kini banyak diamalkan oleh wanita bertudung, adakah berdosa?
Ustaz menjawab: Sebenranya tidak berlaku ijmak atau kesepakatan ulama tentang pengharaman pemakaian sanggul yang tinggi. Golongan yang mengharamkannya menggunakan hadith Nabi "...perempuan akhir zaman speerti bonggol-bonggol unta.." dan pemakaian sanggul yang tinggi hampir menyerupai bonggolan unta. Tetapi, terdapat dua tafsiran tentang hadith itu ialah, bonggolan unta itu ialah gaya wanita yang membuat fesyen rambut sehingga kelihatan seperti bonggolan unta. Kedua, nampak jambul. Kesimpulannya, Ustaz Azhar Idrus kata kalau nak pakai, jangan pakai tinggi sangat. Laki bukannya suka pun. Tetapi, dimaafkan jika terpaksa. Contohnya, rambutnya panjang sehingga nampak apabila memakai tudung. Maka, diharuskan syarak untuk membuat sanggul walaupun sanggul rambut itu besar.

  • Adakah bersentuhan dengan mertua yang belum peluk Islam membatalkan wudhu?
Ustaz menjawab: GOlongan mertua menjadi golongan muhrim secara serta0merta sebaik sahaja selepas akad nikah. Walaupun cerai dengan anaknya yang dikahwini oleh kita, bekas mertua tetap menjadi golongan muhrim sehingga kiamat. Begitu juga dengan golongan mertua yang belum peluk Islam.

  • Ustaz, bacaan al-Fatihah saya tak beberapa cantik dan sedap. Apakah pandangan ustaz?
Ustaz menjawab: Tidak mengapa, jikalau kita tersilap sedikit kerana lidah kita berbahasa Jawi, manakala orang Arab yang lidahnya berbahasa Arab lebih sempurna bacaannya. Jadi, tidak mengapa jikalau salah sedikit melainkan kesalahan tersebut ialah kesalahan yang berat, iaitu tertukar baris dan huruf.

  • Apakah golongan yang diharamkan untuk meminum air Telaga Kauthar di hari kiamat walaupun dia tidak pernah meninggalkan solat?
Ustaz menjawab: Golongan yang tidak dapat meminum air Kauthar ialah golongan yang mengubah hukum wajib dan haram yang ditetapkan oleh Rasulullah. Maka, mereka akan tetap ke neraka walaupun sempurna solatnya.

  • Ustaz, suatu hari, saya sedang membaca tahiyat akhir dalam solat, kemudian tiba-tiba isteri saya cuit saya..Adakah batal?
Ustaz menjawab: Tidak batal, kerana sentuhan yang membatalkan wuduh mengikut Mazhab Syafie ialah sentuhaan yang tidak berlapik. Maka, tidaklah batal jika sentuhan isteri terkena lapik. Namun begitu, haram dan berdosa orang yang mengganggu solat secara sengaja. Tetapi, jikalau suami tersilap rakaat, bini yang memerhati boleh memberitahu suami yang sedang bersmebahyang.

  • Saya seorang inferior designer yang ditugaskan untuk mereka sebuah bar yang khusus untuk orang bukan Islam. Adakah saya berdosa?
Ustaz menjawab: Tetap berdosa, jikalau kita mereka khusus sesuatu tempat yang digunakan untuk bermaksiat. Contohnya, haram untuk kita terlibat dalam pembinaan bar, disko yang sememangnya tujuannya untuk bermaksiat. Tetapi, tidak mengapa kita mereka sebuah bangunan yang tidak diketahui samada akan digunakan ke arah kebaikan atau tidak. Contohnya, jikalau seorang inferior designer mereka sebuah rumah kedai, yang tidak diketahui samada penggunaannya haram atau tidak, maka tidaklah dia berdosa.

  • Jikalau isteri keluar air mani selepas mandi wajib. Adakah perlu mandi semula?
Ustaz menjawab: SUami hendaklah bertanyakan kepada isteri, adakah air mani itu keluar ketika isteri dalam syahwat. Jika, ya maka wajib isteir mandi semula kerana itu ialah air mani isteri. Jika, air mani itu keluar sedangkan isteri tidak terangsang, maka tidak wajib mandi.


Inilah antara soalan yang dijawab oleh Ustaz. Sebenarnya banyak lagi, tetapi samada jawapan Ustaz tidak jelas atau tahap soalan terlampau tinggi, maka ambe tak tampilkan di sini. Harapnya, apa yang ambe kongsikan di sini boleh membawa manfaat kepada rakan-rakan sekalian..Sekian, wassalam..:)

*p.s: Pada esok hari, (Isnin), seorang syeikh dari Madinah Syeikh Mahmood al-Madinah akan datang di Surau an-Nur, Bandar Baru Bangi. Beliau merupakan keturunan Rasulullah. Beliau akan mengendalikan kuliah, qasidah, selawat dan talkin hadith. Sesiapa yang kelapangan, rajinkanlah diri menghadiri kuliah tersebut. Allahlah sebaik-baik pemberi ganjaran...

1 comment:

  1. Salam, blog yang menarik..ada masa jenguklah fanpage saya:
    https://www.facebook.com/WanitaHiasanSyurga
    https://www.facebook.com/untuk.family.bahagia
    terima kasih

    ReplyDelete