Friday, 9 December 2011

[Tazkirah]: Menangani Nafsu Gelap


Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillahi rabbil alamin..Kita diberi peluang oleh Allah subhanahu wa taala untuk meneruskan lagi satu hari di dunia fana ini. Perlulah kita untuk menginsafi dan merenungi mengapakah al-Rabb kita memberikan satu lagi peluang untuk kita hidup sedangkan beratus-ratus orang di seluruh dunia mati dalam setiap saat. Jadi untuk memanaskan minda kita sebelum kita memasuki isi utama pada kali ini, mari bersama-sama kita merenungi  dan menginsafi.

Kita bangun dari tidur tiap pagi, kembali ke dunia setelah beberapa lama roh kita meninggalkan badan. Kita kembali menghirup nafas yang amat segar, sungguh segar udaranya sehingga terasa kesegaran dan kemanisannya hingap dan dinikmati oleh tiap pancaindera kita. Tetapi, mengapakah kita dipilih oleh Allah azza wajalla untuk meneruskan "permusafiran" kita di dunia fana ini? Sedangkan, di akhbar kita melihat begitu ramai yang hilang nyawanya...Mengapakah kita dipilih oleh Allah untuk memulakan hari ini? Jawappan mudah dari Imam al-Ghazali:

Kita dipilih oleh Allah untuk memulakan hari ini kerana Dia memberikan lagi satu peluang untuk bertaubat...

Masya-Allah, bersyukurlah kepada Allah dalam tiap nafas, kerana setiap nafas berbeza dan tiap nafas tidak akan berulang lagi. Menurut sahabat Nabi, Abu Dzar radhiallahuanhu, hidup ini ada tiga saat sahaja,satu saat sudah berlalu, satu saat kita sedang hadapi dan lagi satu saat kita tidak pasti akan menghirupnya lagi...

Baiklah, mari kita pergi ke perbincangan kita, iaitu Menangani Nafsu Gelap. Perlu kita ketahui bahawa nafsu itu adalah sebahagian dari kita. Nafsulah yang mendorong kita untuk makan, minum dan bersetubuh dan pelbagai lagi keperluan dan kehendak. Tetapi, apabila tidak dikawal, maka nafsu ini akan naik kepala dan mula menyuruh kita perkara yang melampau dan berdosa. Maka, akan sampai satu tahap, apabila nafsu yang menjadi raja, kita akan melakukan pelbagai dosa yang menjijikkan.

Wahai rakan-rakan sekalian,

Maka, wajiblah ke atas diri kita untuk memerangi nafsu gelap ini. Ia menyuruh kita melakukan perkara yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, membuatkan kita jauh daripada Allah dan rasul-Nya dan mengakibatkan kecelakaan ke atas kehidupan diri kita. Pendek kata, anda semua mengetahui pengakhiran bagi mereka yang tidak mengawal nafsu mereka. Orang yang tidak dapat menguasai nafsu seks akan berakhir samada kerana penyakit kelamin atau mati dalam keadaan hina akibat dosa zina atau onani. Orang yang tidak dapat menguasai nafsu ke atas duit dan kekuasaan, maka akan berakhir hidupnya seperti Firaun yang dijanjikan neraka. Dan pelbagai lagi analogi yang anda boleh kaji dan analisa dan dijadikan peringatan buat diri ini.

Jadi, ambe sebagai manusia biasa pun memerlukan cara yang efektif untuk membebaskan diri daripada nafsu ini. Maka, ambe mencari maklumat untuk menangani nafsu dan menjumpainya dan sebuah majalah islamiah iaitu Majalah I. Kolum atau artikel ini dinamakan Menangani Nyalaan nafsu yang dikarang oleh Ustaz Dr Zaharuddin Hj Abd Rahman, seorang ulama dan penceramah yang tidak asing lagi dari arena dakwah negara kita. Beliau mencadangkan beberapa langkah bernas, yang ambe rasakan molek untuk dikongsi demi kebaikan bersama.


Fikirkan target kehidupan dan meminggirkan pujukan syahwat dengan berusaha untuk mencapai target kehidupan tersebut.

Datangkan keyakinan bahawa Allah melihat segala-gala yang kita lakukan, samada perbuatan tersebut dilakukan secara bersembunyi atau terang-terang. Bayangkan apabila hendak melakukan dosa, sebuah CCTV merakam perbuatan terkutuk kita dan semua orang melihatnya di akhirat nanti.

Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga baik dan soleh. Jikalau tiada ahli keluarga yang tidak dapat membimbing, dekati kawan yang mampu memberikan contoh yang baik.

Putuskan hubungan gelap atau songsang sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius. Putuskan sebarang medium yang boleh mendorong syahwat. Jikalau kebiasaan anda, syahwat anda akan naik apabila berseorangan di hadapan komputer, maka bergeraklah dan duduk bersama khalayak ramai.

Putuskan hubungan adik, abang atau "sebarang angkat-angkat" kerana adik beradik angkat tetap boleh berkahwin dan had aurat antara mereka tetap seperti aurat seorang dengan muhrim yang lain.

Hadiri majlis ilmu dan sibukkan diri dengan membuat target baru seperti blog, menulis buku, melukis dan sebagainya.

Sertai kumpulan bersifat keagamaanyang boleh membawa kepada ingatan kepada Allah, tetapi awas dengan gerakan sesat. Sekarang, terdapat pelbagai gerakan keagamaan seperti TABLIGH, JIM, ABIM dan sebagainya.

Ubah rutin harian yang boleh meningkatkan syahwat, walaupun jikalau mandi di bilik air tersebut yang akan meningkatkan syahwat anda pada kebiasaannya, maka hindarilah dari mandi dalam bilik air tersebut, demi kebaikan diri kita juga.

Kalau anda bekerja atau sedang belajar, berikan fokus kepada pelajaran atau pekerjaan anda. Insya-Allah, lama-kelamaan nafsu akan menjadi lesu.

Ziarahi kubur untuk menawarkan syahwat. INi antara langkah yang terbaik untuk memadamkan nafsu. Tapi, jangan melakukan perbuatan bidaah sperti sembahyang di atas kubur atau memuja kuburan para alim soleh. Sebaiknya, lawatilah kubur ahli keluarga yang begitu dekat dengan kita dan rasailah perubahannya.

Fikirkan andainya anda mati dalam berbuat perbuatan keji itu, dan manusia akan terjumpa anda dalam keadaan yang begitu menjijikkan. mereka rasa begitu jijik, dan keluarga anda begitu malu dengan anda. Mahukah anda menjadi sedemikian?

Andainya anda sedang memikirkan tentang lelaki atau perempuan sehingga naik syahwat, fikirkan tentang sesuatu yang menjijikkan kepadanya, seperti keluar lendir, mukanya hodoh dan sebgainya. Gunakan kekreatifan anda sebaik mungkin..:)

Kalau komputer menjadi sebab terangsangnya nafsu, perdengarkan bacaan al-Quran semasa menggunakan komputer. Ini tentunya akan menimbulkan rasa malu pada diri untuk melakukan dosa. Sebaiknya, gunakanlah bacaan ayat al-Quran daripada lagu-lagu kerana bacaan al-Quran akan menggoncangkan hati orang-orang yang beriman.Kalau syahwat masih menggila, berhenti dan keluarlah dari tempat itu dan renungi kebesaran Allah iaitu alam semula jadi.

Jangan sesekali menghampiri suatu perbuatan yang dianggap maksiat kecil, kerana melakukan maksiat kecil akan menyebabkan kita terdorong untuk melakukan maksiat yang besar pula.

Amalkan puasa sunat, zikir harian (mathurat). Puasa merupakan cara yang dianjurkan oleh Imam al-Ghazali, di mana beliau mengumpamakan nafsu sebagai kuda liar. Dan, cara yang terbaik untuk menjinakkan kuda liar tersebut ialah dengan mengikat kuda tersebut. Perut merupakan simber tenaga nafsu, apabila anda kerap mengamalkan puasa sunat, maka nafsu akan menjadi lemah kerana tidak memperoleh sumber tenaganya.
Segera beristighfar dan bertaubat. Seseungguhnya Allah mendengar rintihan taubat hamba-hambanya.

Diharapnya, dengan beberapa cara di atas, kita akan berhasil menundukkan nafsu kita. Insya-Allah, apabila kita berusaha secara konsisten, diiringi oleh doa dan disudahi dengan tawakkal, Allah akan menolong kita. Ingatilah formula ringkas dalam melakukan apa-apa perkara iaitu,

D = Doa   U = Usaha    I = Ikhtiar   T = Tawakkal..
Insya-Allah, ambe doakan agar anda dan juga diri saya berjaya dalam peperangan ini. Sekian sahaja, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..:)



INSYA-ALLAH..AKAN BEROLEH KEJAYAAN..:D



No comments:

Post a Comment