Tuesday, 29 May 2012

Bismilllahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Demi Allah, urusan dakwah ini sesuatu yang sangat berat, perlu ditempuhi dengan bijak serta dilengkapi dengan strategi yang jitu. Untuk urusan dakwah ini, perlu ada sang daie dan juga golongan sasaran. Sebelum itu, mungkin sesetengah dari kalian tertanya-tanya mengapa kita harus bersusah payah berdakwah, ke hulu ke hilir serta memenatkan badan? Sesungguhnya jikalaulah Allah tidak mengeluarkan perintah dakwah, maka aku lebih sengan untuk memerapkan diriku di dalam kutubkhanahku dan meneroka ilmu pengetahuan yang Allah anugerahkan pada umat manusia. Tetapi, Allah sudah keluarkan arahan berjihad, jadi Dia selaku Rabb, perintahNya wajib dilaksanakan..

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. - Ali Imraan, 104

Di hidup ini, lebih mudah untuk membina perahu yang cukup untuk membawa diri kita mengharungi badai kehidupan. Tapi, Islam itu sendiri satu rahmat buat seluruh alam dan sartu sistem yang menyeluruh dan dijamin membawa keamanan sejagat, maka menjadi kewajiban untuk kita semua membina sebuah kapal yang besar dan berusaha menarik manusia ke dalam bahtera itu dan berlayar menuju destinasi hakiki. Ketahuilah, hanya satu bahtera yang akan sampai ke matlamatnya, selaras dengan firmanNya,
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Ali-Imran,19 
Maka, jelaslah bahawa wajib ke atas semua insan muslim yang memenuhi syarat-syaratnya untuk berdakwah. Berdakwah merangkumi segenap pancaindera, bukan sahaja dengan mulut kerana betapa ramai yang masuk Islam semasa zaman nabi dengan hanya melihat akhlak Rasul dan para sahabat. Adapun, dengan mulut, maka disyaratkan kepada para daie untuk memilik ilmu Qurani dan Hadis, agar boleh menjawab segala pertanyaan. Nada yang digunakan haruslah lunak dan tidak digalakkan menggunakan intonasi yang kasar kerana sifat agama ini menyukakan kelembutan.

Adapun dengan pancaindera lain, maka ini mewakili bahagian yang lebih besar dari berdakwah secara lisan. Ramai manusia menggemari dakwah secara lisan tetapi gagal kerana akhlak dan perbuaran mereka tak selaras dengan perkataan yang diucapkan. Perbuatan lebih memainkan peranan yang besar, ini jelas dalam beberapa hadith dan kisah yang sohih.

Dalam zaman penuh kekacauan ini, para daie menghadapi tribulasi yang amat berat kerana terdapat dua tugas, iaitu mengIslamkan orang yang bukan Islam dan menIslamkan kembali orang yang Islam. Sebenarnya, non-Muslim lebih senang untuk memeluk Islam kerana Islam menjawab segala persoalan mereka dan mereka pun sentiasa tercari-cari kebenaran dan membandingkannya. Berbanding dengan orang Islam, mereka terlampau selesa dan mencari jalan lain selain dari Islam.

Perumpaannya, orang Islam kini tinggal dalam surau yang terang-benderang, Mereka sudah terbiasa dengan sinaran ini dan tidak lagi menganggap ia sesuatu yang istimewa. Malahan, mereka sentiasa tertanya-tanya apakah yang berada di luar sana, Orang kafir pula, mereka tercari-cari dalam kegelapan, mereka bosan dengan kehidupan mereka dan apabila mereka menjumpai sinar Islam itu, mereka berasa amat bersyukur dan tidak sesekali mahu melepaskannya.

Aku tidak dapat menafikan bahawa beberapa kali aku putus asa dalam usaha ini. Aku kekurangan daie dari pihak lelaki, sebaliknya terdapat kebanjiran Muslimah yang berminat untuk menggerakkan usaha dakwah ini. Hal ini disebabkan kerana kebanyakan pendakwah menggunakan kisah yang meruntun jiwa dan menyedihkan yang tampaknya menyentuh hati wanita-wanita berbanding lelaki. Aku juga menggunakan cara yang sama dan membuktikan hipotesis ini. Untuk menarik kaum lelaki, aku masih buntu kerana mereka masih lemas dalam ego mereka.

Bukannya aku tidak menghargai penglibatan wanita, tetapi aku amat terdesak dalam mencari para pemimpin dari kalangan lelaki. Aku masih tidak dapat menemui resepi yang tepat untuk menarik mereka, dan ini membantutkan usaha mereka. Klu yang aku dapat rumuskan ialah mereka gemarkan gerak dakwah yang tidak formal dan tidak memerlukan usaha yang banyak, ringkasnya mereka berasa MALAS. Itulah kenyataannya. Aku dapat merasakan sesuatu kuasa yang amat hebat jika tenaga lelaki ini dapat dipacu dengan bijaknya, tetapi malangnya ini  memerlukan masa.

Aku berdepan dengan golongan yang umpama biskut. Sekejap taat, sekejap ingkar. Aku mengalami kesusahan berdepan dengan golongan ini di samping berusaha memastikan diriku berada dalam jalan yang sebenar.

Aku juga berdepan dengan golongan wanita yang amat teguh pendiriannya dengan liberasasi wanita. Nampaknya, mereka sudah disuntik dengan begitu baik dengan rcun pemodenan. Mereka hanya mengetahui Islam pada permukaannya, umpamanya aurat. Mereka rasa aurat itu hanyalah menututp kepala dengan cebisan kain, maka mereka membuka anggota yang lain.

Sampai di sini sahaja analisa ku...Aku berharap jika aku kalah, maka ada yang meneruskan legasi in...Wassalam

No comments:

Post a Comment