Wednesday 4 December 2013

[Feqah Harian (2)]: Sahkah berwudhu' dengan Air Berklorin?

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

In sha Allah, pada kali ini kita akan membicarakan tentang dua perkara yang berkenaan air. Mungkin sesetengah daripada kita mempunyai sikap was-was yang tinggi, adakah air klorin yang digunakan secara meluas di dunia sebagai air paip itu suci dan menyucikan? Adakah sah wudhu' ataupun mandi jinabah jika menggunakan air paip?


Sebelum kita meneruskan perbincangan ini, ambo ingin menegaskan bahawa sebarang hukum yang dikongsi dalam ruangan ini BUKAN milik ambo, kerana ambo tahu langit itu tinggi dan tinggi mana ilmu ambo yang rendah ini justeru tidak layak untuk mengeluarkan hukum.

Untuk ruangan ini, ambo akan menggunakan beberapa buku sebagai rujukan, mungkin pada ruangan seterusnya ada penambahan rujukan.

1) Himpunan Isu-Isu Feqah Terpilih oleh Dr Basri Ibrahim
2) Sabil al-Muhtadin karya Kiyai al-Imam al-'Allamah al-Hammah al-Fahhamah al-Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari
3) Solat Nabi mengikut Mazhab Syafie karya Ustaz Muhadir bin Haji Joll

dan kitab-kitab yang lain.

Baiklah, berbalik kepada persoalan kita pada kali ini, sahkah air berklorin/paip untuk air wudhu'?

MUQADDIMAH : Islam mengharuskan perbuatan bersuci sama ada menggunakan air ataupun bertayammum. Keharusan bersuci menggunakan air sememangnya jelas oleh seluruh umat Islam, terutamanya air mutlak.

KONTEKS: Air mutlak pada zaman kini kadangkala dicampurkan dengan bahan seperti klorin untuk mematikan kuman. Air berklorin ini digunakan secara meluas di seluruh tempat di merata dunia.

PERSOALAN: Sesetengah daripada kita bersifat was-was dalam perkara ini sehinggakan lebih menggemari untuk berwudhuk menggunakan air timba/perigi daripada air paip yang sememangnya tersedia. Benarkah pendapat mereka?

ULASAN: Dr Ahmad al-Syirbasi menjelaskan bahawa di sisi sesetengah ulama' sebarang air mutlak yang bercampur dengan sesuatu yang suci seperti sabun, mawar dan gandum hukumnya SUCI sebagaimana air mutlak.

Maka air paip yang disalurkan juga suci kerana klorin itu merupakan sesuatu bahan yang suci jua.

HURAIAN: al-Imam Abu Ishaq al-Syirazi menyebut,
"Apabila berubah salah satu sifat air seperti rasanya atau warnanya atau baunya, perkara ini perlu diteliti. Jika yang mengubahkan sifat air itu merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dari air seperti teratai, garam, kapur dan lain-lainnya, maka HARUS untuk berwudhuk dengannya, kerana tidak mungkin air dapat dielakkan daripadanya. Kerana itu ia dimaafkan sebagaimana najis yang terlampau sedikit dan gerakan yang sedikit dalam solat".
Klorin juga merupakan satu bahan yang tidak dapat dielakkan dari bekalan air kini dan diketahui maslahatnya untuk membunuh kuman dan mensejahterakan rakyat.


ELABORASI: al-Imam an-Nawawi menjelaskan,
"Apabila berubah sesuatu yang tidak mungkin dapat dielakkan daripada air, maka HARUS berwudhu dengannya. Perkara ini telah diijmakkan oleh para ulama'".

TUNTASAN: Alhamdulillah, semoga Allah memberikan kita kefahaman berkenaan dengan isu ini. Maka mari kita imbas semula poin-pon di atas.


  • Air paip pada zaman kini bercampur dengan klorin.
  • Air paip telah berubah sifatnya.
  • Bahan klorin merupakan bahan yang bersih.
  • Bahan klorin diletakkan demi kemaslahatan umum.
Ketiga-tiga ulama di atas bersependapat HARUS berwudhuk dengan air mutlak (AIR PAIP), yang dicampurkan dengan bahan yang suci (KLORIN), dan tidak dapat dielakkan (FAKTOR MEMBUNUH KUMAN), walaupun telah berubah sifat airnya itu (BAU KLORIN).
Sahabat-sahabat yang  dirahmati Allah, semoga Allah memberikan kita kefahaman akan isu ini. Wallahua'lam..Selamat beramal!! :D
 

No comments:

Post a Comment