Walaupun hampir seminggu meninggalkan sekolah, masih tak dapat sesuaikan diri. Subhanallah. ALam persekolahan memang sungguh bermakna kerana ia sebuah kem latihan dan kini tibalah ambo untuk terbang dengan sayap yang dibentuk selama 11 tahun. Pray for me, brothers and sisters..
Cuti ini tidak banyak aktiviti. In sha Allah akan berangkat ke pondok iaitu Madrasah Pasir Tumboh Kelantan pada 21 Disember. Darah Minang ambo berkobar-kobar untuk merantau dan mencari pengalaman. Semoga Allah kurniakan ambo syahid dalam mencari ilmu sepertimana saudara Ammar kita. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas Allahyarham Ahmad Ammar..
Post kali ini sebenarnya merupakan assginment ayah ambo yang sedang menjalani Diploma Syariah. Beliau meminta bantuanku untuk menulis tugasan ini maka ambo pun mulakan gerak kerja. Terimalah hasil kerja yang tidak seberapa ini..Semoga bermanfaat
(Sumber: Diambil daripada beberapa laman sesawang dan juga buku Himpunan Isu-Isu Fiqah Terpilih oleh Dr Basri Ibrahim)
PENGGUNAAN UBAT BERNAJIS UNTUK MERAWAT PESAKIT
MUQADDIMAH
Hukum Islam
didatangkan dengan pelbagai bentuk dan konsep, sesuai dengan peranannya sebagai
rahmat sekalian alam dan bkan asbab bagi mencetuskan masyaqqah kepada umat
manusia. Hukum Islam berbentuk kompleks lagi universal, yang disesuaikan
mengikut suasana dan peredaran zaman tanpa mengubah matlamat terasnya;
mengabdikan diri kepada Allah.
Hukum di dalam
Islam salah satunya dinamakan sebagai hukum
azimah dan juga rukhsah. Hukum azimah ini ialah pokok atau apa yang
disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sebagai analoginya, solat Zohor itu
disyariatkan ebanyak 4 rakaat. Hukum rukhsah pula didefinisikan sebagai
keringanan ke atas perkara-perkara tertentu dalam keadaan yang tertentu tanpa
mengabaikan hukum azimah tersebut. Sebagai contohnya, bagi orang musafir
dibenarkan untuk memendekkan solat Zohor sebanyak 2 rakaat dengan cara qasar.
Secara umumnya,
umat Islam diwajibkan untuk beramal dengan hukum azimah melainkan didatangi
situasi dharurat.

Asimilasi ini
menyebabkan beberapa kontrakdisi dengan tradisi Islam yang acap kali
menggemparkan kita. Berita pendedahan berkenaan barangan bernajis atau sumber
najis digunakan untuk menyembuhkan umat Islam dan juga manusia meresahkan kita
semua. Persoalannya, apakah hukum penggunaan ubat bernajis untuk merawat
pesakit dari konteks Usul al-Fiqh?
DEFINISI DAN TERMINOLOGI
Sebelum kita
melanjutkan perbincangan kita, moleklah sekiranya kita berkenalan dengan
beberapa definisi yang berguna sepanjang perbincangan ini.
Menurut Rosli
Bin Othman dalam bukunya Al-Mukhtasar Al-Mufid (Ringkasan Hukum Solat dan
Taharah) mengatakan bahawa :
“Najis juga
boleh diertikan sesuatu benda yang kotor pada pandangan syara yang menghalang
sahnya solat dan ibadah-ibadah yang pada maknanya.”
Memandangkan
konteks bicara kita pada kali ini berkisarkan berkenaan adakah situasi dharurat
membenarkan penggunaan ubat bernajis pada hari ini, maka dicatakan juga pada
ruangan ini tentang erti dharurat.
Doktor Wahbah
Azzahili telah menulis: "Telah berkata Al Jurjani di dalam 'Takrifat':
Dharurat ialah kesusahan yang memudharatkan iaitu bencana yang tidak ada
sesuatu yang boleh mencegahnya.!"
Dan banyak
definisi-definisi yang mempunyai maksud yang hampir-hampir sama yang disebut
oleh ulama-ulama dahulu. Di antaranya apa yang disebutkan oleh Abu Bakar Al
Jassas tentang dharurat kelaparan: "Dharurat ini ialah takutkan
kemudharatan menimpa, atau kemusnahan ke atas diri, atau sebahagian daripada
anggota-anggota badan di waktu kelaparan..."
Dan telah
berkata ulama-ulama Maliki: "Dharurat ialah takut keatas kehancuran diri
secara pasti (qathi) ataupun berpandukan andaian yang kuat (zhan), atau
takutkan kematian. Dan tidak disyaratkan menanti sehingga maut datang menimpa
akan tetapi cukuplah dengan hanya berpandukan kepada perasaan takut akan
berlaku kehancuran walaupun dengan andaian yang kuat (iaitu zhan)."
Kemudian Doktor
Wahbah Azzahili merumuskan: "Dharurat ialah keadaan yang menimpa seseorang
insan di dalam bentuk kemerbahayaan, atau kesusahan yang mendesak sehingga
ditakuti berlakunya kemudharatan, ataupun kesakitan ke atas diri, atau anggota
badan, atau kehormatan, atau akal, atau harta benda dan yang sehubungan
dengannya. Dan diharuskan ketika itu mengambil benda-benda yang haram ataupun
meninggalkan yang wajib ataupun menangguhkannya dari waktunya semata-mata untuk
menolak kemudharatan-kemudharatan daripada menimpa di bawah naungan
syari'at."
Perhatikanlah
bahawa akan binasa sekalian umat manusia jika hanya dibenarkan untuk beramal
dengan hukum azimah dalam situasi kecemasa. Tetapi, rahmat Allah ke atas
hambaNya membenarkan dan menurunkan hukm rukhsah yang digunakan pada situasi
yang disebutkan di atas dan dengan kadar yang tertentu dan syarat yang tertentu
pula.
HUKUM RUKHSAH MENURUT USUL FIQH
Allah subhanahu
wataala telah berfirman;
"Sesungguhnya
diharamkan kepada kamu bangkai dan darah dan daging babidan apa-apa yang
disembelih untuk yang lain daripada Allah. Tetapi sesiapa yang terpaksa tanpa
ada kecenderungan dan tanpa melampui batas, maka tidak ada dosa keatasnya.
Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Al Baqarah:
173)
Perkara penting
yang dapat kita kutip daripada ayat ini ialah, benda-benda yang diharamkan ini
diharuskan pada ketika terpaksa. Itupun tanpa melampui batas.Daripada ini
lahirlah dua kaedah syari'yah yang penting untuk kegunaan umat di dalam
kehidupan mereka.
Kaedah pertama
ialah:
"Kecemasan
(dharurat) mengharuskan yang haram."
Akan tetapi
pengambilan benda-benda yang haram dimasa dharurat dibatasi dengan kaedah yang
kedua, iaitu:-
"Dharurat
diambil sekadar keperluan sahaja."
Menggunakan
benda yang haram melebihi kadar keperluan dimasa dharurat adalah berdosa.
Begitulah juga di dalam perubatan Islam, pada ketika-ketika dharurat dan kecemasan
boleh digunakan benda-benda dan cara-cara yang haram sekadar keperluan. Ini
telah berlaku di zaman Ar-Rasul.
Mengikut hadis
dari Anas bin Malik:
"Rasulullah
telah memberi kelonggaran kepada Abdul Rahman ibn Auf dan Zubair ibn Awwam
memakai sutera, kerana penyakit gatal yang menimpa mereka."
(Bukhari dan
Muslim)
Walaupun sutera
pada dasarnya haram dipakai oleh muslimin lelaki, tetapi jika tidak ada
cara-cara yang halal yang dapat mengubati sesuatu penyakit, ianya harus
digunakan. Ini menunjukkan keharusan berubat dengan cara yang haram di
peringkat kecemasan selepas hilang ikhtiar-ikhtiar lain.
Namun mestilah
diingat, bahawa tidak boleh kita dengan senang menggunakan benda ataupun cara
yang haram bertopengkan dharurat (kecemasan) sebelum berikhtiar mencari yang
halal dengan bersungguh-sungguh.
SYARAT PENGGUNAAN BARANGAN HARAM KETIKA DHARURAT
Sesungguhnya
Islam itu mudah tetapi janganlah kita mempermudahkan apatah lagi mengambil
mudah hukum Islam sewenang-wenangnya/ Para fuqaha' telah menetapkan beberapa garis
panduan seseorang itu dibenarkan untuk mengambil atau menggunakan barangan
haram.Antaranya;
1) Bahawa
keadaan dharurat itu benar-benar berlaku, bukan sesuatu yang dinanti- nantikan.
Maksudnya telah wujud suatu keadaan di mana kemusnahan ataupun kehancuran akan
menimpa keatas diri ataupun harta benda secara pasti, ataupun berpandukan sangkaan
yang kuat berdasarkan pengalaman-pengalaman. Ataupun telah benar-benar wujud
suatu keadaan yang akan merosakkan dan menghancurkan satu diantara lima perkara
dharuriyat yang telah disebutkan: samada agama, nyawa, akal, keturunan, ataupun
harta benda. Ketika ini barulah hukum rukhsah boleh diambil.
2) Telah
dipastikan bahawa tidak ada benda-benda halal yang lain yang boleh diambil
melainkan yang haram sahaja.
3) Jika masih
ada benda-benda yang halal, mestilah dipastikan bahawa pengambilan benda-benda
yang halal tidak akan dapat mengindarkan kemudharatan dan kehancuran daripada
menimpa si pesakit.
4) Bahawa
seseorang yang terpaksa itu tidak dibolehkan melanggar prinsip-prinsip Islam
yang asasi, umpamanya, mejnaga hak orang lain, menunaikan amanah dan
lain-lainnya. Umpamanya tidak dibolehkan seseorang yang terpaksa itu berzina,
membunuh, merompak untuk menghilangkan kemudharatan yang menimpa.
5) Hendaklah
pengambilan yang haram itu sekadar perlu sahaja, untuk menghilangkan dharurat
yang menimpa. Tidak boleh lebih.
6) Pada waktu
pengubatan, pengambilan yang haram ketika dharurat mestilah dipastikan oleh
seseorang doktor yang adil, yang dipercayai tentang agama dan ilmunya.
PENGGUNAAN UBAT BERNAJIS MENURUT ISLAM
Tajuk ini
perlukan perincian. Sebelum kita melihat kepada ijtihad ulama-ulama tentang
perkara ini, marilah kita melihat kepada hadis ini.
I.UBAT BERNAJIS SECARA UMUM
"Beberapa
orang telah datang ke Madinah. Oleh kerana tidak begitu sesuai dengan cuaca di
situ meraka telah diserangi penyakit. Ar-Rasul lantas menghantar mereka ke
tempat unta-unta sedeqah disimpan seraya bersabda: "Minumlah dari susunya
dan dari air kencingnya."
(Bukhari)
Berhubung dengan
hadis ini, Imam Qastalani di dalam kitab 'Irsyadus Sari' telah berkata:
"Dan telah berkata Imam Syafie dan Abu Hanifah dan jumhur ulama-ulama
Islam, air kencing adalah najis kesemuanya melainkan yang dimaafkan.
Ditakwilkan hadis ini sebagai harus meminumnya kerana ubat dan tidak harus
tanpa dharurat.
Adapun hadis
Ummu Sulaim di mana Ar-Rasul telah bersabda:"Sesungguhnya Allah tidak
menjadikan ubat daripada bahan yang diharamkanNya." Ditafsirkan didalam
waktu ikhtiar. Pada waktu dharurat, harus menggunakannya (iaitu benda benda
haram) seperti mana bangkai diharuskan untuk yang terpaksa!"
Jelas dengan
hadis ini tentang keharusan menggunakan najis seperti air kencing unta (yang
dihukumkan najis oleh kebanyakan ulama) ketika berubat di waktu dharurat.
Di dalam 'Al
Hidayah Al Alaiyah' ada disebutkan: "Harus berubat dengan yang haram, jika
diyakini bahawa ia boleh menyembuhkan dan ketika tidak ada ubat-ubat lain.
Adapun dengan sangkaan semata-mata(iaitu tidak yakin), tidak diharuskan. Dan
perkataan seorang tabib semata- mata tidak membawa kepada sesuatu yang
yakin."
Di dalam kitab
'Mughni Muhtaj' ada disebutkan: "Harus berubat dengan najis seperti daging
ular dan air kencing untuk mencepatkan kesembuhan dengan syarat tabib yang
memberikan ubat itu mestilah seorang Muslim yang adil ataupun yang
berpengetahuan tentang cara pengubatan dengan menggunakannya, asalkan kadar
yang digunakan sedikit sahaja dan tidak sampai memabukkan."
Imam Al Izz ibn
Abdul Salam di dalam kitab 'Qawaidul Ahkam' telah berkata: "Harus berubat
dengan najis-najis jika tidak didapati ubat-ubat yang bersih sebagai pengganti,
sebat maslahat sembuh dan kesejahteraan lebih menyempurnakan daripada maslahat
meninggalkan penggunaan najis."
II. UBAT BERNAJIS BERSUMBERKAN DARI BABI
Adapun tentang
daging babi, ada ulama-ulama yang tegas di dalam memberi hukum. Di dalam kitab
'Al Hidayah Al Alaiyah' ada disebutkan: "Adapun daging babi, tidak
diberikan kelonggaran untuk berubat, walaupun dia saja yang ditentukan sebagai
ubat."
Telah berkata
Sahnun di dalam Tafsir Qurthubi: "Tidak boleh berbuat dengan babi."
III. UBAT BERNAJIS BERSUMBERKAN ARAK
Adapun tentang
pengubatan dengan menggunakan arak ketika dharurat telah berkata Imam Al Izz
ibn Abdul Salam:'Tidak harus berubat dengan arak mengikut pendapat yang lebih
sahih melainkan jika diketahui ia dapat menyembuhkan dan tidak ada ubat-ubat
lain."
Di dalam kitab
'Al Bahru Al Zukhar' telah disebutkan: "Yang lebih hampir ialah harus
berubat dengan arak jika dikhuatiri si pesakit akan binasa ataupun akan binasa
salah satu daripada anggota-anggota badannya yang dapat dihindarkan jika
penyakitnya dapat disembuhkan."
Di dalam
'Arraudhah' telah tertulis: "Harus berubat dengan arak kerana dharurat
secara mutlak."
Telah berkata
Imam Abu Hanifah: "Harus berubat dengan arak dengan meminumnya!"
Pendapat ini disokong oleh Qadhi Attabari dari mazhab Syafie dan Imam Atthauri.
Sheikh Abdullah
Nasih Ulwan telah merumuskan: "Nas-nas yang diutarakan merupakan
dalil-dalil yang jelas tentang keharaman penggunaan arak seperti untuk berubat.
Adapun setengah-setengah ubat yang terpaksa dicampurkan dengan alkohol kerana
dharurat untuk memeliharanya daripada rosak umpamanya, adalah harus
menggunakannya untuk berubat sekira diketahui bahawa sesuatu hanya boleh baik
dengan menggunakannya. Tetapi ini mestilah dipastikan oleh seorang doktor
muslim yang mahir, yang takut kepada Allah masa tersembunyi ataupun
berterang-terangan.''
Untuk
memperincikan fatwa-fatwa yang telah dinukilkan, elok rasanya kita mengamati
bahan-bahan yang telah dituliskan oleh Doktor Abdul Karim Zaidan:
"Ulama-ulama fiqh telah memberi pandangan-pandangan mereka tentang masalah
pengubatan dengan benda yang diharamkan Allah, samada daripada bahan bernajis
ataupun bahan-bahan yang tidak bernajis yang lain. Ada diantara mereka yang
melarangnya, ada yang mengharuskan, dan ada pula yang memperincikan hukumnya.
Bagi tiap-tiap pandangan yang mereka utarakan ada dalil-dalilnya ......."
Kemudian beliau
memperincikan perkataan ulama-ulama berhubung dengan perkara ini:

Dan disisi Mazhab
Syafie: Mereka membezakan diantara arak dan bahan-bahan haram yang lain. Di
sisi mereka, harus berubat najis-najis dan bahan-bahan haram yang lain
melainkan Inilah pandangan mazhab itu dan inilah yang diputuskan oleh ulama
Syafie..!
Adapun arak,
mereka mengharuskannya ketika hendak menghilangkan suapan yang terlekat di
kerongkong jika tidak ada bahan-bahan lain yang suci! Akan tetapi mereka
bertelingkah pendapat tentang keharusan berubat dengannya dan dengan bahan-bahan
yang memabukkan yang lain. Jumhur ulama Syafie tidak mengharuskannya• Pandangan
mereka ini adalah pendirian Mazhab dan yang sahih disisi mazhab Syafie. Kami
berkata, sesungguhnya meminum arak dan bahan yang memabukkan dilarang oleh
jumhur ulama Syafie dan diharuskan oleh segelintir yang lain.
Adapun yang
zahir dari perkataan ini, yang dilarang oleh Imam Syafie ialah meminumnya
sehingga kadar yang memabukkan. Dan perkataan jumhur ulama Syafie yang melarang
berubat dengan arak dan bahan-bahan yang memabukkan maksudnya, "Pada
pengamatan kami diharuskan diatas kadar yang tidak memabukkan bukan diatas
kadar yang memabukkan. Adapun ulama-ulama: Syafie yang mengharuskan berubat
dengan arak, membawa makna, mereka mengharuskannya, samada ianya memabukkan
atau tidak sampai memabukkan.
Selepas mengkaji
dan memperincikan perbezaan pendapat ini, kami berpendapat bahawa perbezaan ini
suatu perbezaan yang kurang penting. Ini disebabkan kebiasaannya (dimasa ini),
kewujudan arak di dalam ubat-ubat adalah didalam kadar yang sedikit, dan
jarang- jarang sekali diambil dan jika diambil pun amat sedikit sekali tidak
sampai memabukkan. Lantas meminumnya ketika diperlukan adalah diharuskan......!
Kemudian beliau
membincangkan penggunaan ubat-ubat yang bercampur dengan alkohol yang banyak
terdapat di masa ini.
Katanya:
"Terdapat ubat-ubat Yang dicampuri di dalamnya bahan-bahan alkohol dan
bahan-bahan yang boleh memabukkan Yang lain. Adakah harus kita mengambilnya
ataupun tidak?
Jawapannya: Jika
pada ketika kesakitan yang ditahap dharurat, diharuskan dengan syarat-syarat
yang telah disebutkan. Adapun jika tidak sampai ketahap dharurat, umpamanya
wujud sesuatu hajat pada penggunaan ubat-ubat ini, dan tidak sampai ke tahap
dharurat, adakah diharuskan juga? Yang zahir bagi saya ialah diharuskan. Ini
dikiaskan pada apa yang difatwakan. Umpamanya oleh Al-Kasani di dalam'Al
Badai': "Sesungguhnya najis sekiranya berubah dan bertukar sifat-sifat dan
maknanya, maka terkeluarlah ia dari kenajisannya..."
Dan telah
berkata Ibn Hazmin: "Sekiranya telah berubah sifat asal sesuatu bahan
najis ataupun haram, maka terbatallah namanya yang asal yang telah ditetapkan
hukumnya dan jadilah ia bahan lain yang halal dan suci.......! Dengan itu
alkohol dan bahan yang memabukkan yang lain andaikata dicampurkan sedikit di
dalam ubat sehingga ia melarut di dalamnya sehingga hilang kesannya, baunya dan
rasanya maka hukumnya adalah sama seperti hukum najis yang bertukar
sifatnya.......!
Adapun tentang
hukum menggunakan bahan-bahan bius (anasthesia), umpamanya untuk pembedahan,
telah berkata ulama-ulama Hanafiyah: ".........Dan tidak ada kesalahan
meminum sesuatu yang menghilangkan akal untuk memotong kudis yang memakan badan
(gangrenous ulcer) dan yang sehubungan dengannya." Dengan ini jelaslah
keharusan menggunakan alat-alat dan ubatubat bius untuk pembedahan, walaupun
ianya menghilangkan akal.
Satu persolan
yang sering dihadapi oleh doktor-doktor sekarang ialah, adakah harus memberikan
ubat-ubat yang diharamkan bahan- nya kepada pesakit, semata-mata untuk
mencepatkan kesembuhan- nya? Telah berkata Dr. Abd. Karim Zaidan:
"Sekiranya ketentuan ini dibuat oleh seorang doktor muslim yang adil, maka
telah berkata Imam An-nawawi: Tentang keharusannya ada dua pandangan...... Dan
yang paling sahih ialah diharuskan. Dan sesungguhnya Imam Syafie telah
menegaskan tentang keharusannya di dalam hal ini, daripada perkataannya di
dalam Al Umm."
KESIMPULAN
Maka, telah
zahirlah bahawa agama ini ialah agama yang murni seluruhnya. Berdasarkan
perbincangan kita, nyatalah menurut syara' harus penggunaan barangan bernajis
tsabit daripada hadith Nabi dan ijtihad para ulama'.
BONUS: Saudara AMMAR dalam Kenangan..
No comments:
Post a Comment