Wednesday 28 May 2014

[Akidah Injection]: {Bahagian 5}: Nafsiyyah dan Salbiyah

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Alhamdulillah, kita akan memasuki huraian sifat 20. Ketahuilah bahawa dalam 20 sifat itu, ianya terbahagi kepada 4 bahagian iaitu,

1)       Kumpulan Nafsiyyah. Sifat yang dibangsakan kepada empunya zat itu, iaitu Allah. Ada satu sahaja sifat yang terkandung di dalam kumpulan ini, iaitu Wujud.

2)      Kumpulan Salbiyah yang bermakna menolak. Iaitu kumpulan sifat yang tugasnya menolak sebarang sifat yang tidak layak kepada Allah taala. Sifat-sifat yang tergolong di dalam kumpulan ini ialah Qidam, Baqa’, Mukolafatuhu lil Hawadith, Qiyamuhu Taala Binafsihi dan Wahdaniyat.

3)      Kumpulan Maani iaitu sifat yang beserta dengan zat Allah iaitu Qudrat, Iradat, Ilmun, Hayat, Sama’ dan Bashir dan Kalam.

4)     Kumpulan Maknawiyah iaitu sifat yang dinisbahkan kepada sifat Maani. Sifat yang terkandung iaitu  Kaunuhu Qadiran, Kaunuhu Muridan, Kaunuhu Aliman, Kaunuhu Hayyan, Kaunuhu Samian, Kaunuhu Bashiran, dan Kaunuhu Mutakalliman.

Maka, pada ruangan kali ini kita akan membincangkan tentang kumpulan Nafsiyyah dan Salbiah, in sha Allah..

Sifat Nafsiyyah

Sifatnya hanya satu iaitu Wujud iaitu ada. Lawannya ialah ‘Adam iaitu tiada. Tuhan itu ada namun hakikat zatnya tidak dapat dilihat dengan mata kepala, kerana hakikat yang Qadim tidak dapat dilihat oleh yang hadith.

Dalil sifat ini ialah wujudnya alam ini. Alam ini ialah ma siwa Allah iaitu segala perkara selain Tuhan. Alam ini ialah makhluk dan sifat makhluk ialah hadith iaitu baharu. Baharu ini ertinya ada permulaan. Segala makhluk ada permulaan. Alam ini permulaannya daripada Big Bang. Manusia asalnya dari mani. Pokok asalnya daripada benih dan seterusnya.

Dan setiap perkara yang ada permulaan (hadith) mesti ada pencipta. Maka, inilah membuktikan kewujudan sang Pencipta iaitu Allah.

Sifat Salbiyah.

Sifat ini penting kerana sifat ini fungsinya untuk menolak segala sifat yang tidak layak dengan Tuhan.

QIDAM

Qidam ertinya sediakala. Erti sediakala ialah tiada permulaan bagi Tuhan taala. Lawan kepada sifat ini ialah Huduth iaitu baharu. Mustahil Tuhan bersifat baharu, kerana setiap perkara yang baharu dicipta, maka akan berlaku pengulangan tanpa pengakhiran iaitu daur dan tasalsul.

INFO: Daur dan tasalsul.
Daur ertinya berkeliling. Contohnya, Zaid dijadikan oleh Amru, dan Amru menjadikan Zaid. Tasalsul pula ertinya berhubung tanpa berakhiran. Contohnya Zaid menjadikan Abu, Abu menjadikan Khalid, Khalid menjadikan Bakar dan seterusnya.

Jikaalau Tuhan itu tidak bersifat sediakala (tiada permulaan), maka Dia bersifat baharu. Setiap perkara baharu ada yang menciptakan, maknanya ada Tuhan yang lain. Maka, Tuhan itu juga bersifat baharu, maka ada Tuhan lain yang menjadikan maka benda ini akan jadi tidak berkesudahan. Maka, wajiblah Tuhan itu bersifat sediakala, tanpa sebarang permulaan.

INFO: Qadim yang dinisbahkan kepada nama terbahagi kepada empat
1)       Qadim zatiy iaitu tiada permulaan bagi zat Allah, tidak diciptakan
2)      Qadim sifatiy iaitu tiada permulaan bagi sifat Allah
3)      Qadim zamani iaitu berlalunya masa, sekurang-kurangnya setahun
4)      Qadi idhofi, terdahulu sesuatu perkara sebelum datangnya perkara yang lain. Contoh, sang bapa datang lebih dahulu daripada anak.
Maka Qadim zatiy dan Qadim sifatiy hanya kepada Allah sahaja

BAQA’

Baqa’ ertinya kekal. Erti kekal maknanya tiada akhir bagi kewujudan Allah taala. Lawannya ialah Fana’ iaitu binasa. Wajib Tuhan kekal selama-lamanya kerana jika Dia tidak kekal maka Dia merupakan sesuatu yang baharu, kerana setiap perkara baharu akan binasa maka akan terjadilah daur dan tasalsul seperti di atas.

Maka, perkara yang dikaitkan dengan permulaan dan pengakhiran maka terkait dengan tiga bahagian;

1)       Tiada permulaan dan tiada pengakhiran seperti zat Allah dan sifat Allah
2)      Ada permulaan tetapi tiada pengakhiran seperti syurga dan 10 perkara yang lain yang akan dihuraikan nanti.
3)      Ada permulaan dan ada pengakhiran seperti semua makhluk selain yang tersebut di atas itu

Maka, perkara yang kedua di atas itu namanya kekal Ardhi.

INFO: Kekal Ardhi, pada hakikatnya hanya Allah sahaja yang Kekal secara Hakiki tetapi atas kekuasaanNya dan kehendakNya, maka Dia mnjadikan 10 perkara untuk menjadi kekal. Maka, asalna ia tidak kekal, tetapi dikekalkan dengan izin Allah taala. 10 perkara itu ialah;
1)       Syurga
2)      Neraka
3)      Qalam
4)     Kursiy
5)      Arasy
6)     Loh Mahfuzh
7)      Roh
8)     Ajbul Zanbi  iaitu tulang sulbi manusia
9)     Jisim sekalian Nabi
10)   Jasad para syuhada’

MUKHOLAFATUHU LIL HAWADITHI

Mukholfathu lil Hawadithi ini ertinya bersalahan Allah dengan segala perkara yang baharu. Ertinya Allah itu tidak menyerupai dengan ciptaannya walau sedikitpun. Misalnya, adakah logik jika pencipta pen berupa sebagai pen juga? Tidak! Maka semestinya pencipta pen itu selain daripada rupa pen.

Lawan kepada sifat ini ialah Mumathalatuhu lil Hawadith iaitu bersamaan Allah dengan segala yang aharu, maka ini mustahil. Allah tidak menyerupai sesuatupun dengan ciptaanNya sama ada melalui zat, sifat dan af’al.
Erti Allah tidak bersamaan dengan perkara ciptaanNya melalui zat ialah;
1)        Tuhan itu bukan jirim ( perkara yang mempunyai berat, isipadu dan menempati dalam ruang/matter)
2)       bukan aradh (sifat yang menempel kepada zat seperti warna),
3)      tidak sesekali Tuhan itu berdarah daging,
4)     tidak bertulang,
5)       bkan dari jenis leburan (air/liquid)
6)     dan bukan daripada jenis tumbuhan.
7)      Dia juga tidak berpihak (tidak ada di utara, selatan, timur, barat, atas, bawah, kanan, kiri , tepi)
8)     dan Tuhan itu tidak bertempat (do not occupies space)
9)     dan tidak berada di dalam masa.
Erti Allah tidak bersamaan dengan makhluk melalui sifat ialah;
1)        Sesungguhnya sifat Allah itu Qadim (tiada permulaan) sedangkan sifat manusia iatu baharu (ada permulaan). Pendengaran Allah tiada permulaan dari azali sedangkan pendengaran manusia itu mula ada ketika dia diciptakan dan penuh dengan kekurangan pula.
Erti Allah tidak bersamaan dengan makhluk pada perbuatan ialah perbuatan ialah
1)       Perbuatan Allah memberi bekas sedangkan perbuatan manusia hanya semata-mata ikhtiar tidak memberi bekas tanpa izin Allah. Contoh seperti pena yang menulis. Nampak seperti pena itu yang menulis sedangkan tanganlah yang menggerakkan pena itu. Sama dengan perbuatan manusia, pada zahirnya kelihatan manusia yang memperlakukannya sedangkan kesemua itu berlaku dengan kehendak Allah taala.
2)      Perbuatan Allah itu tanpa wasitah iaitu tanpa alat dan perkakas sedangkan manusia itu memerlukan alat dan perkakas seperti tangan, kereta dan sebagainya.
INFO:  Ayat Mutasyabbihat
Perasan tak bahawa ada ayat-ayat di dalam al-Quran yang menunjukkan seperti Allah itu bersifat seperti manusia seperti, “Allah bersemayam di atas Arasy”,”Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka”. Inilah dinamakan sebagai ayat mutasyabbihat.
Syeikh Allamah Mahmud Khitob as-Subki di dalam kitab Ithaf al-Kainaat bi bayani Mazhab al-Salaf wal Khalaf fi al-Mutasyabihaat berkata, “Apa yang dimaksudkan dengan Mutasyabbih di sini ialaj setiap as yang datang pada al-Quran atau hadith yang sahih yang mana memberi pengecaman bahawa Allah menyerupai sesuatu makhluk. Padahal telah ada dalil-dalil yang muktamad dan yakin menunjukkan bahawa makna zahir itu mustahil ke atas Allah”
Maka dalam membincangkan ayat mutasyabbihat ini, terdapat 2 golongan yang berbeza dalam penafsirannya, tetapi kedua-keduanya jalan yang benar iaitu,
1)       Mazhab Salaf- mereka tidak menafsirkan ayat ini dan serahkan maknanya kepada Allah, tetapi mereka tetap mensucikan Allah daripada segala sifat-sifat makhluk
2)      Mazhab Khalaf- mereka tinggal di zaman penuh dengan fitnah dan jalan keilmuan bercampur-baur dengan ajaran ektrim dan bidaah. Maka, untuk menolak hujah puak bidaah dan meneguhkan premis umat Islam, maka mereka menafsirkan ayat ini sesuai dengan sifat Allah tetapi tetap mensucikan Allah daripada sifat-sifat makhluk. Contohnya, frasa “bersemayam di atas Arasy” ditafsirkan sebagai “kekuasaan Allah” dan seterusnya.
Imam Ghazali berkata di dalam Ijmal al-Awwam, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh orang awam etika terserempak dengan ayat mutasyabihat ini;
1)       Taqdis iaitu mensucikan Allah daripada keadaan berjisim dan ciri-ciri makhluk
2)      Tashdiq iaitu tetap beriman dengan ayat mutyabihat  ini yang dibawa oleh Nabi
3)      Iktiraful ‘Ajzi iaitu mengakui kelemahan diri dan akal manusia yang tidak mampu memahami hakikat zat Tuhan melalui ayat mutasyabbihat
4)     Sukut iaitu diam tidak bertanya akan maknanya dan tidak mencuba untuk mencari maknanya tanpa di bawah pengawasan guru.
5)      Imsak iaitu menahan diri daripada masuk campur di dalam lafaz-lafaz ayat mutasyabbihat seperti mengubah lafaz dan sebagainya yang mampu menimbulkan kekeliruan.
6)     Kaff iaitu menahan batin daripada emikirkan tentangnya kerana senang sahaja syaitan memalingkan daripada kebenaran
7)      Taslimun Li Ahlihi iaitu menyerahkan maknanya kepada pakarnya
QIYAMUHU BINAFSIHI
Qiyamuhu binafsihi taala ertinya Allah berdiri dengan sendirinya lawannya ialah Ihtiyaj ilal Mahalli wal Mukhossisi yang bererti Allah berkehendak kepada tempat berdiri dan yang menciptakannya. Erti sifat ini ialah Allah tidak memerlukan apa-apa dari makhluk dan segala undang-undang dan syariat yang diperintahkan kepada hambaNya kesmuanya untuk maslahat dan faedahnya untuk hambaNya juga.
Maka terkaya Tuhan daripada mengambil manfaat daripada ketaatan hambaNya dan tidak sesekali memberi mudharat kepada Tuhan jika hambaNya tidak menyembahNya. Hujahnya di dalam Srah al-Fussilat ayat 46, Allah berfirman barangsiapa yang berbuat amal yang soleh maka pahalanya itu kepada dirinya jua dan barangsiapa yang berbuat jahat maka balasannya itu ditanggung oleh dirinya jua.
WAHDANIYAT
Wahdaniyat ini ertinya esa lawannya berbilang-bilang (banyak). Allah taala itu esa dari zat, sifat dan af’al.
Erti Allah itu esa pada zat ialah zat Allah itu tidak bersusun membentuk daging, tulang, urat dan tiada zat lain yang menyamai zat Allah.
Erti Allah itu esa pada sifat ialah tidak sesekali Allah mempunyai 2 sifat yang sama, seperti 2 Qudrat, 2 Iradat. Selain itu, tiada sifat lain yang menyerupai sifat Allah.
Erti Allah itu esa pada perbuatan ialah tiada perbuatan yang menyerupai perubatan Allah.


Maka inilah huraian secara ringkas tentang sifat Nafsiyyah dan Salbiyah. In sha Allah kita akan teruskan perbincangan kita tentang sifat Maani dan Maknawiyah pada ruangan akan datang..Wassalam..:)

No comments:

Post a Comment