Tuesday 14 January 2014

[Akidah ASWJ]: Dalil Keharusan Maulid Nabi

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..



Tajuk ini memang menjadi kontroversi di Malaysia. Sebenarnya, banyak hujah-hujah yang diberikan oleh ulama' berkenaan keharusan menyambut Maulid Nabi, tetapi ada sebilangan orang menolak pendapat para 'ulama' ini dan mengajak orang untuk menolak pendapat 'ulama' juga. Katanya, "Jangan ikut mereka itu.Mereka bukan maksum!!". Tetapi, pada masa yang sama membidaahkan 'ulama' lain-lain dan menyeru jangan diiikut pendapat orang lain, mereka suruh mengikut pendapat mereka pula. Aneh. Kata, kita semua bukan maksum..Hehe..

Sebelum itu, kita hidangkan kepada minda kita mengapa Allah letakkan kelahiran Nabi pada bulan Rabiul'Awwal, bukannya bulan-bulan yang mulia seperti Bulan-bulan Haram, Rejab, Syaaban atau Ramadhan, bulan turunnya al-Qur'an? Mengapa Allah takdirkan kelairan Nabi Muhammad SAW pada hari Isnin bukan Jumaat, penghulu segala hari?

Jawab al-Imam Suyuti rahimahullah, ada beberapa sebab Allah meletakkan sedemikian. Allah ingin memerikan kemuliaan kepada Nabi SAW;

Calligraphy Muhammad Wallpaper Calligraphy Muhammad Wallpaper

  • Kenapa bulan Rabiul'Awwal.? Perkataan Rabi' bermaksud musim bunga. Kalau kita tengok kepada negara 4 musim, musim apakah yang paling kondusif dan indah bagi mereka? Pastinya, musim bunga. Musim bunga ini merupakan musim pertengahan. Tidak panas dan tidak sejuk. Maka, ini isyarat daripada Allah subhanahu watalaa bahawa Dia akan mengutus seorang Nabi yang akan membawa syariat yang wasatiyah, iaitu pertengahan.
  • Bulan RabiulAwwal juga disebut sebagai Rabiul Anwar yang bermaksud bercahaya. Kedatangan Nabi Muhammad membawa cahaya bukan kepada masyarakat Arab Jahiliya,h tetapi kepada seluruh alam.(al-Anbiya', 107)
  •  Kenapa hari Isnin? Allah menginginkan Rasulullah yang memuliakan yang lain, bukan dimuliakan oleh yang lain. Jika Rasulullah lahir pada hari Jumaat, maka orang akan berkata Rasulullah diberkati kerana lahir pada hari Jumaat, Saiyidul Ayyam. Maka, seiring dengan pengutusan Nabi sebagai rahmat kepada seluruh alam, Allah takdirkan Nabi lahir pada hari Isnin, maka hari Isnin mulia kerana lahirnya Nabi pada hari itu.
Kedua, persoalannya, mengapa kita membuat perayaan yang Nabi sendiri tidak sambut?

Jawapan ini ambo petik dari Syeikh Ibrahim Kattan yang menghafal kitab Shaih Bukhari dan Muslim kulit ke kulit dan masih mengajar di Masjid al-Azhar. Beliau berasa pelik dengan soalan ini. Maulid Nabi ini bertujuan untuk mengingati sejarah Nabi. Sejarah itu dikatakan benda yang lepas dan tidaklah dikatakan memperingati sejarah jika orang yang ingin diingati itu masih hidup. Kerana itulah rasulullah tidak menyambut hari lahirnya kerana tugas untuk memperingati sejarahnya ialah terletak pada kita sebagai umatnya.

Dan, tidak semestinya perkara yang tidak dilakukan oleh rasulullah itu tidak boleh belake. Bidaah ini satu perkara yang tidak ada asas dalilnya dalam islam,pendek cerita direka-reka dan dicedok dari ajaran selain Islam. Ini satu tuduhan berat. Para 'ulama' mengharuskan sambutan ini kerana bersempena dengan memperingati Nabi Muhammad. Maka, akan berkatalah orang, kita ibarat orang Kristian dan Nasrani. Mereka mengambil hadith "Janganlah kamu memuji ku berlebihan sepertimana pengikut Nasrani kepada Isa alaihissalam.."  Persoalannya, pengikut Nasrani ini MEMUJA Isa alaihissalam, maka dalam Maulid tiada pun unsur pemujaan, maka dibenarkan untuk menyambutna. Ini sudah dijawab oleh Syeikh Fahmi Zamzam yang akan kita bincangkan pada post yang lain..

DALIL PERTAMA :HARUS BAGI KITA MEMBESARKAN HARI-HARI DAN TEMPAT-TEMPAT KELAHIRAN PARA NABI

Hujahnya;
  • Kita membesarkan hari Jumaat kerana ianya merupakan hari dihidupkan Nabi Adam alaihissalam. Kata Imam al-Qastalani, "Hari Isnin atau hari kelahiran Nabi merupakan hari mustajabnya doa di mana Allah akan mengampunkan permohonan ampun oleh hambanya. Kenapa? Jika hari Jumaat itu dijanjikan mustajabnya doa bersempena dengan penciptaan  Nabi Adam, apatah lagi pada kelahiran kekasihNya?
  • Saidina Syaddad bin 'Uwais meriwayatkan;
Saidina Jibril alahissalam pernah menyuruh baginda menunaikan solat di Baitul Laham (Bethlehem). Kemudian saidina Jibril bertanya kepada Nabi SAW,"Tahukah kamu dimanakah kamu bersolat tadi? Maka baginda menjawab, "aku tidak tahu". Kata Saidina Jibril, "Kamu telah menunaikan solat di Baitul Laham di mana Isa alaihissalam dilahirkan".

  •  Kesejahteraan dan keselamatan pada hari Nabi-nabi dilahirkan disebutkan secara jelas di dalam al-Quran. Firman Allah taala;
"Dan segala keselamatan dan kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hairi aku mati dan pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)". (Maryam,33)

DALIL KEDUA: KISAH ABU LAHAB

al-Imam Ibnu Kathir rahimahullah menyebutkan di dalam kitab Bidayah wal Nihayah;
"Wanita yang mula-mula menyusukan baginda ialah Tsuwaibah al-Aslamiyah yang merupakanhamba kepada Abu Lahab. Dia dimerdekakan oleh Abu Lahab sebaik sahaja memberitahu tentang kelahiran baginda kepada Abu Lahab"

al-Imam Suhaili rahimahullah taala dan para ulama lain telah menyebutkan di dalam kitab-kitab mereka,
"Sesungguhnya Abu Lahab menyebutkan kepada saudaranya al-Abbas di dalam mimpi (mimpi al-Abbas). Sesungguhnya dia dilepaskan daripada seksaan kubur pada setiap hari Isnin (kerana gembira dengan kelahiran Nabi)"

Pendapat ini juga disebutkan oleh al-Imam al-Hafidz Syamsuddin bin al-Jazari di dalam ktabnya Arif al-Ta'rif bil Mawlid as-Syarif.

al-Imam al-Hafidz Syamsuddin bin Nasiruddin al-Dimasqi menyebutkan sebuah syair di dalam kitabnya Murid al-Shodi fi Mawlid al-Hadi,,


Jika ini keadaan seorang kafir
yang dijanjikan seksaan bahawa dilepaskan seksaan
kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad
Maka apa sangkaanmu terhadap hamba Allah
yang gembira dengan Ahmad dan mati dalam tauhid? 

Menurut al-Ustaz Doktor Yusuf Kahtthar Muhammad hafizahullah seorang ulama daripada Syria;

"Hadith Abu Lahab dibebaskan daripada seksaan pada hari Isnin kerana gembira dengan kelahiran baginda diriwayatkan oleh sebahagian besar daripada para ulama hadith dan sirah. Antaranya ialah Imam Abdul Razak San'ani, Imam Bukhari, Imam ibnu Hajar al-Asqalani, l-Hafidz al-Baohaqi, Imam Ibnu Hisyam, al-Imam Suhaili, al-Hafidz Baghawi,al-Imam Ibnu Daiba', al-Imam al-Asyqar, al-Imam al-'Amiri"

DALIL KETIGA: BAGINDA SENDIRI MENYAMBUT HARI KELAHIRANNYA DENGAN BERPUSA PADA HARI ISNIN

al-Imam Muslim meriwayatkan di dalam kitab Sahihnya;
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah r.a; Sesungguhnya Baginda rasulullah pernah ditanya tentang puasa pada hari Isnin. maka sabda baginda," Ianya merupakan hari aku dilahirkan dan pada hari tersebut juga wahyu mula disampaikan kepadaku".

Syeikh Muhammad Nazrul bin Abdul Nasir berkata dalam risalahnya, Sirajul Huda,"Ini merupakan dalil yang jelas menunjukkan sambutan Maulid Nabi. Mungkin cara sambutan berbeza tetapi maksudnya tetap sama sama ada kita berpuasa pada hari tersebut, memberi makan atau berkumpul unutk melaksanakan majlis zikir dan selawar ke atas junjungan besar Rasulullah SAW/

Sambutan Maulid Nabi bukanlah semata-mata kita bergembira pada hari tersebut. Tetapi pada hari tersebut kita digalakkan untuk mengadakan majlis bagi memperingati sirah perjuangan baginda dan segala yang ebrkaitan tentang perjuangan baginda SAW. Perkara sebegini perlu kerana ianya akan menambahkan lagi kecintaan kita kepada baginda dan keimanan kepada Allah dan arsulNya akan bertambah kukuh.

Sambutan sebegini juga akan menyegarkan ingatan kita kepada baginda SAW dan perkara ini disyariatkan di dalam Islam. Kita dapati di dalam ibadah haji juga terdapat banya bentuk ibadah yang di dalamnya yang ianya merupakan cara untuk mengingati peristiwa-peristiwa lepas yang berlaku di sesuatu kawasan tersebut seperti Sai dan melontar Jamrah. Ini dilakukan semula sebagai cara untuk memperingati peristiwa-peristiwa bersejarah tersebut..Wallahua'lam..:D

*Pelik melihat orang yang mengaku cintakan Nabi, tetapi bersungguh-sungguh menghalang orang menyambut kelahiran Nabi..:)




No comments:

Post a Comment