Sunday 5 January 2014

[Diari al-Mamluk]: Cerita Dari Pondok

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh..

Alhamdulillah, setelah dua minggu bermukim di Pondok Pasir Tumboh, Kelantan. Ambo kini sudah menjejakkan kaki ke rumah. Ambo tak nak balik, ketenangan di sini amat bernilai. Kehidupan ini, ambo mencari maknanya/ Dan, ambo menjumpai di sana. Ratusan murid dan tok guru hidup dengan harmoni, [percaya bahawa rezeki mereka sering bertandang daripada Allah sepertimana Allah rezekikan kepada burung.

Sepanjang hidup ambo, ambo sering mabuk dalam pelbagai dimensi pemikiran yang negatif. Apakah kerjaku? apakah tanggapan orang terhadapku? Berapa gajiku? Apakah aku akan mendapat isteri solehah? Dan, bolehkah aku mencapai husnul khatimah?

Jawapan kepada 1001 persoalan itu kesmeuanya ambo temui di sini. Tok Guru di sini amat geliga pemikirannya, bukan setakat dalam ilmu agama sahaja Ada seorang guru kami mengaitkan teori Big Bang dalam perbincangan kami berkenaan sifat Allah. Kata beliau, semua makhluk memiliki perubahan dan permulaan seperti alam semesta melalui teori Big Bang, tetapi Allah itu bersifat sedia ada. Tok Guru yang kepandaiannya setaraf dengan mana-mana ahli akademik yang lain amat tawadhuk. mereka tidak meminta sebarang bayaran pun walaupun kelas mereka berjalan sepanjang hari. Ambo berpeluang menuntut dengan TG Abdul Rahim al-Singalaka sehingga pukul 2 pagi! Dan, beliau tidak meminta sebarang bayaran seperti guru-guru lain.

Habis, hidup nak makan apa? Sahabatku, perhatikanlah burung. Ia tidak pernah pun bertolak pada waktu pagi dalam keadaan kelaparan dna pulang dalam keadaan kelaparan juga. Rezeki itu ketetapan Allah. Semua burnung pulang dalam keadaan kekenyangan. Kalaualah burung percaya dengan janji Allah, mengapa tidak kita? Diberitakan kepada kami bahawa ada tok guru di sini mempunyai 10 butir kereta, semunaya pemberian orang. Rezeki ini dari Allah, bukan dari tangan kita.

Kahwin? Kata Ustaz  Din yang mengajar kami tajwid," Kalau ngaji tak lama,fardhu ain tak sempurno, tokseyy pikir lagi pasal kahwin". Pedas? Ya, tetapi itu hakikatnya. Kita masih cetek ilmunya tetapi beria-ria hendak kahwin . Perkahwinana tidak bererti menjamah tubuh pasangan masing-masing sahaja, perkahwinan ini merupakan satu proses tarbiah untuk melahirkan generasi baru yang soleh. Tetapi, kalau mak ayah tidak reti bab agama, bagaimana pula dengan anak-anak mereka? Kita sering mengeluh, mencaci apabila melihat kebejatan sosial di akhbar, tetapi pernah tak kita terfikir bagaimana kita menyumbang ke arah masalah ini walaupun secara tidak langsung?

Institusi pondok telah lama dimomokkan dengan arus pembangunan. Se,ua orang takut miskin, semua orang takut jadi bodoh, smeua orang takut takda Aventador, semua orang takut takda bini. Hakikatnya, kita sering lupa untuk takut mati dalam ketakutan.

Ambo bawakan cerita-cerita dari pondok ini, semoga memeri pencerahan berkenaan dengan institusi ini.


Dari Seberang Laut Ke Pondok

Pertama kali kami berjumpa dengan susuk tubuh bernama TG Hazrel Asrar, kami sudah jatuh hati kepadanya. Bermuka cengkung dan putih kulitnya, kesopanan dan tawadhuk-nya mencampakkan perasana tekun dalam hati kami. Tambahan lagi dengan ilmunya yang amat luas dan gayanya yang bersahaja, siapa yang tidak tunduk hatinya apabila berbicara dengan ulama' muda ini.

Rupanya, kisah tok guru pondok ini amat panjang. Beliau bersekolah di MRSM Taiping dan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan Electrical Engineering. Semasa bermukim di sana, beliau ttelah didatangi oleh para mubaligh Kristian yang cuba untuk memeurtadkan beliau. Usai belajar, beliau terus pulang ke negara Malaysia untuk mendalami ilmu agama kerana beliau sendiri hampir goyah dengan asakan mubaligh ini.

Asalnya berniat untuk tinggal sekejap, pejam celik pejam celik, sudah 7 tahun beliau di sini. Beliau diberi tauliah untuk mengajar dan seterusnya Allah tentukan untuk beliau mengajar kami dan menceritakan serba sediit tentang perihalnya.

Selepas kelas pukul 2 pagi, kadang-kala kami tidur di masjid kerana keletihan yang sangat. Di hujung masjid, kmai menjumpai satu batang tubuh berjubah putih, yang sedang tidur. dialah TG Hazrel Asrar. Memilih untuk tidur berbantalkan lengan dan bertikarkan lantai masjid yang sejuk. Dialah murobbi kami...


Dilemma Kini Tiada Lagi

Semasa kami makan malam bersama-sama menggunakan talam, ianya satu sunnnah, bulatan kami disertai oleh seorang pemuda yang tinggi dan agak gempal badannya. Senyumnya amat mesra sehinggakan menghilangkan kejanggalan kami. Kami makan dengan gembira setelah menempuh sehari yang padat dengan pengisian.

Usai makan, kami memberanikan diiri untuk bertanyakan kepada beliau. Beliau dengan senang hati menceritakan bahawa beliau merupakan seorang lulusan Degree Engineering di sebuah universiti awam di negara ini. Selesai belajar,beliau ditawarkan oleh seorang rakannya yang ingin membuka syarikat baru. Gaji permulaannya ialah RM 5000!!!! Agak-agak apa jawapan beliau?

Beliau menolaknya.

Katanya, beliau ingin mendalami ilmu agama. Meskipun berat untuk abaikan peluang yang kebanyakan daripada kita terliur dengannya, beliau memilih pondok sebagai tempat mukimnya. Menjual dunia untuk akhirat, inilah perniagaan yang tidak akan rugi.

Hari-hari mendatang kami sering dihias dengan senyum abang Tarmizi yang tidak pernah lekang dari mukanya. kadnag kala kami malu dengan diri kami yang berat menunaikan solat sunat sedangkan Abang tarmizi tidak pernah ketinggalannya.

Pada penghujung tempoh kmai di sini, beliau beritahu kepada kami bahawa dia kini dirundung dilema kembali. Beliau ditawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran sedangkan hatinya tertambat di bumi ini. Sebelum kami berpisah, beliau meminta kami untuk mendoakannya...

Pilot yang Tertaut Hatinya.

Cerita ini dikisahkan kepada kami oleh Ustaz Sukri, murobbi kami ketika berada di pejabat Asrama Selangor atas urusan penting. Kata beliau,

Beliau terjumpa dengan seorang yang katanya tidak akan menetap lama di pondok ini. sekadar utnuk memenuhi masa yang kelapangan sebelum berangkat ke luar negara untuk berkhidmat dalam bidang Airforce.

Tetapi, Ustaz Sukri menjumpainya. Beliau berasa terkejut seraya menyapanya. Pemuda itu menjawab tenang, "Saya dah tolak tawaran tu. Saya dah buat keputusan untuk tinggal di pondok ini". sebak hati Ustaz Sukri mendengarnya.

Perdagangan yang tidak akan rugi...Pemuda itu akan sentiasa terbang dan mikraj ke arah keredhaan Tuhannya walaupu tanpa kapal terbang dan jet...

Kisah Muhammad Ali.

Ini bukan kisah petinju. Ini kisah seorang muallaf.

Abang Muhammad Ali tampil ke hadapan apabila kami merayu kepadanya agar memberikan sedikit tazkirah. Abang Ali berbangsa India, dan mukanya bersinar yang buatkan kami terpegun seketikan ketika hendak menjawab salamnya apabila pertama kali bersua.

"Saya Muallaf. baru 2 tahun saya peluk islam. Lepas ada satu accident, saya duduk rumah saja. Saya takda kerja. Pastu ada kawan kenalkan saya kepada Jesus Christ. Saya dengar cerita pengorbanannya untuk manusia, sifatnya yang baik menawan hat saya. Saya semakin tertarik dengan ajaran Jesus.

Satu hari, saya terbuka ada ceramah agama Islam. Saya tengok kenapa ajaran diorang sama dengan ajaran Kristian? Saya jadi keliru. Alunan al-Quran pun sedap, buatkan air mata saya menitis walaupun tak faham apa dia cakap. Bila abang saya masuk bilik, saya cepat-cepat tutup.

Keliru saya. Ada kawan Melayu rapat dengan saya dan akhirnya saya memeluk Islam. Lepas peluk Islam, saya duduk sahaja. Saya pikir, saya peluk Islam ni sebab saya nak solat, saya nak puasa bukan untuk duduk sahaja. Ta[i, saya tak tahu macam mana. Kemudian, ada kawan saya bawa ke sini (Kelantan). Kat sinilah, saya jumpa orang Islam sebnar. Tenang hati saya.

Mak saya sampai sekarang tak tahu saya sudah Islam. Saya kata saya nak cari kerja..."


Kisah Muhammad Yusoff

Selepas sarapan, kami bergerak ke masjid untuk mengaji kitab. Di anjung masjid, kami ternampak seorang Inggeris yang tebal janggutnya berwarna salji. Kami pun tertarik dengannya, apatah lagi kitab yang mereka sedang belajar itu ialah kitab Arab penuh.

Kore punya korek, akhinrya kami mengetahui kisahnya. Beliau seorang muallaf daripada Australia dan berkahwin dengna seorang wanita tempatan. Beliau tertarik dengan pondok dan menetap di sini. Setelah 6 tahun, beliau kini mengajar Bahasa Arab di sini. Bayangkan, sudah berapa umur kita bergelar seorang Muslim, berapa patah Bahasa Arab yang kita tahu?  Tapi, seorang muallaf Australia mampu mengajar orang-orang Melayu Islam berbahasa Arab...SubhanaAllah... 


From Hero to Zero

Diceritakan kepada kami oleh Ustaz Fadhli yang mengajar kami Usuluddin, baru-baru ini beliau menziarahi Kuching untuk bertemu dengan bekar pelajar Pondok Pasir Tumboh. Ada beberapa kisah insan ini memeranjatkan dia, apatah lagi kami.

Ada seorang Insan, datang ke sini tidak reti membaca dan menulis apa-apa pun. Setelah 6 tahun di sini, apabila beliau suah menjadi alim, beliau pulang ke kampung halamannya. Dan kini, berkhidmat sebagai Qadi di sana.

Ada seorang insan yang menetap di Asrama Selangor, apabila diperhatikan telinganya seperti pernah ditindik ataupun beliiau merupakan seorang muallaf dari kaum peribumi Borneo. Tetapi, kami tidak pernah terlihat beliau berada di saf belakang melainkan sentiasa istiqamah berada di belakang imam kecuali apabila ada kelas. Malam-malam, apabila kami sedang berqasidah, ambo ternampak dia juga sedang berqaisdah dengan semangat diiringi tangisan air mata kerinduan kepada Rasulullah...


Kawan-kawan,

Janganlah mencaci golongan yang tekun mempelajari ilmu agama. Merekalah orang yang melepaskan dosa kita apabila mereka mempelajari ilmu-ilmu fardhu kifaiyah dalam lingkungan agama di sini. Bak kata TG Abdul Rahim, "Budak pondok tidak pernah diajar untuk tidur awal". Kerana apa? Waktu malam di pondok meriah dengan majlis ilmu . Tanyalah kepada diri kita, kita berjaga hingga tengah malam kerana apa? facebook? Twitter? Itu semua sia-sia, tetapi pelajar pondok ini memenuhi malam mereka dengan ilmu dan ibadah....

Wallahua'lam....




3 comments:

  1. semoga Allah merahmati orang yang mendalami ilmuNya :)

    ReplyDelete
  2. Kisah2 yg mnitiskn air mata krn Allah. Allahuakbar Allahuakbar. Moga kita semua brada dlm lindgn Allah. Trigt waktu lps spm thun lps yg sgt kosong sbb trhlg utk ke kelantan mnuntut di pondok2. Allahurabbi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allah kurniakan nikmatNya dalam cara y gkdg kala manusia yg celik mata hatinya sahaja boleh mengesannya..Belajarlah..:)

      Delete